Header Ads

JANGAN TUKAR CINTA ANDA KEPADA NEGARA LAIN

Negara Malaysia memasuki fasa baharu apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara daripada kerajaan Barisan Nasional pada PRU14 yang baharu lalu. Oleh kerana pertukaran kerajaan persekutuan ini merupakan yang pertama kali dalam sejarah negara kita, di mana rakyat Malaysia belum pernah mempunyai pengalaman sebagaimana di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Great Britain, Jepun dan Indonesia.

Persoalan utama ialah adakah rakyat Malaysia sudah bersedia berhadapan dengan perubahan-perubahan global seperti Revolusi Industri ke-4, implikasi perang perdagangan Amerika Syarikat-China, dan ancaman keselamatan kepada negara? 

Pertembungan 
Beberapa pandangan sarjana boleh dirujuk dalam memandu kesiapsiagaan rakyat Malaysia dalam berhadapan isu-isu tersebut. Huntington (1996) misalnya menyatakan isu pertembungan nilai dan pertembungan tamadun yang akan melingkari dunia dalam abad ke-22. Antara pertembungan terhebat kini adalah trade war antara China dengan Barat yang diketuai Amerika Syarikat. Dalam hal Malaysia, pertembungan yang berlaku ialah antara etnik-etnik di Malaysia dalam politik, sosial dan ekonomi. 

Perkara ini menarik dibincangkan kerana, banyak bukti menujukkan pemupukan perpaduan atas nama ideologi dan politik tidak akan kekal lama. Sebagai contoh, walaupun bangsa Korea di Korea Selatan dan Korea Utara adalah daripada bangsa yang sama, tetapi mereka terpisah disebabkan oleh ideologi dan politik. Namun begitu, ketika Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia, orang-orang Korea dari dua negara ini bersatu atas nama Kesatuan Korea kerana mereka memiliki teras tamadun, DNA dan budaya yang sama

Maka, rakyat Malaysia harus melihat perkara seperti itu sebagai precedent case yang menarik untuk dibincangkan dalam usaha membina negara kita. Apabila berlaku perubahan dalam kerajaan, maka rakyat Malaysia juga harus berubah tanpa merosakkan teras negara yang sudah terpelihara dalam perlembagaan negara. Dalam isu ini, saya membawa 5 elemen yang sepatutnya ada kepada setiap rakyat Malaysia. 




Lima Elemen Pembinaan Negara Bangsa Malaysia

1. Patriotisme
Seringkali dibahaskan oleh para ahli akademik, ahli politik dan kerajaan bahawa Patriotisme sangat penting dalam usaha memupuk jati diri rakyat. Namun begitu, didapati sebahagian besar rakyat Malaysia mengalami penurunan semangat patriotik kerana tidak mengamalkan nilai-nilai Patriotisme yang sebenar. Kajian menunjukkan, hal ini berlaku kerana mereka mencintai negara atas dasar kebendaan ataupun disebut sebagai value-based patriotism. Sepatutnya patrotisme perlu kepada egocentric patriotism yakni mencintai negara dengan sebenar-benarnya seperti rela berkorban mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman dalam dan luar negara. Patriotisme tidak boleh diluahkan hanya dengan bentuk abstrak seperti mengibarkan bendera sahaja, tetapi perlu ada value-added seperti amanah, benci rasuah dan menjaga kebersihan dalaman dan luaran. Contoh mudah, adakah anda membuang sampah daripada jendela kereta anda? Tidak kah anda sedar perbuatan itu mengotorkan negara anda? Hal-hal kecil seperti ini adalah nilai-nilai patriotisme yang perlu dipupuk dari kecil. Rakyat perlu sedar, Patriotisme memberi penekanan tentang moral yang diistilahkan sebagai konsep kesetiaan, bukannya suatu konsep berbentuk abstrak sahaja. Patriotisme adalah sesuatu yang menunjukkan kebaikan dari aspek moral.

2. Demokrasi
Demokrasi merupakan amalan di kebanyakan negara dalam dunia hari ini, walaupun bentuk demokrasi itu berbeza-beza disebabkan latar belakang sejarah yang berbeza-beza. Dalam konteks Malaysia, sesuatu yang perlu dipuji ialah rakyat Malaysia menerima perubahan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri dengan baik. Tidak ada rusuhan dan demonstrasi sebaliknya rakyat Malaysia dilihat menerima perubahan ini dengan baik. Konsep mudah demokrasi adalah, dari rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat. Walaupun sarjana seperti Francis Fukuyama dan Almond & Verba menyatakan demokrasi tidaklah sepenuhnya dapat memuaskan hati semua pihak, namun akhirnya rakyat berbilang kaum di Malaysia dapat menikmati keselamatan dan kesejahteraan dalam kehidupan seharian mereka.

3. Nasionalisme
Antara tafsiran sesuai mengenai nasionalisme ialah oleh sarjana Lord Acton (1972), katanya nasionalisme adalah kasih sayang dan cinta kepada negara. Pembentukan jiwa patriotisme harus dilandasi oleh semangat nasionalisme. Sebaliknya, jiwa nasionalisme dalam setiap peribadi warganegara perlu dilanjutkan dengan semangat patriotisme untuk mencintai dan rela berkorban demi kemajuan bangsa. Dalam konteks Malaysia pasca PRU14, beberapa peristiwa menarik perlu diambil kira seperti penggunaan bahasa ‘saya bangsa Malaysia’, ‘kita orang Malaysia’, ‘we are Malaysian’ dan sebagainya. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia perlu turut berubah supaya negara kita kekal bergerak ke hadapan tanpa menggadaikan asas-asas kenegaraan sepertimana yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Usaha membina perpaduan memerlukan pendekatan yang baharu sesuai dengan perubahan semasa khususnya kepada generasi baharu.

4. Kesejahteraan
Salah satu syarat keselamatan negara ialah kesejahteraan dapat dirasai dan dinikmati di seluruh pelusuk negara. Kesejahteraan itu boleh dilihat dalam konteks agama, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Contoh mudah dalam konteks agama, kita sedia maklum negara Malaysia terbentuk dengan kepelbagaian kepercayaan, kerencaman dan pada hari ini berhadapan degan ancaman terrorism global yang turut memberi kesan kepada keselamatan negara Malaysia. Pasukan keselamatan mungkin boleh mengawal ancaman agama dari sudut sosial media dan internet, tetapi kumpulan-kumpulan terrorist yang berada di dalam masyarakat amat sukar dikawal. Mereka tidak dikenali, berperawakan baik dan tidak mempunyai tanda-tanda sebagai orang yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, selain daripada kepakaran intelligent, kita juga perlu menyedarkan masyarakat betapa pentingnya konsep kenegaraan seperti a sense of belonging, bersikap patriotic dengan memahami kepentigan jatidiri atau disebut beberapa sarjana sebagai “love of one's country, as involving special affection for one's own country. A sense of personal identification with the country. A special concern for the well-being of the country and willingness to sacrifice to promote the country's good”.

5. Perpaduan
Jika melihat perkembangan dunia semasa kini, masing-masing negara kelihatan mula menyatupadukan diri mereka dengan kelompok-kelompok yang terdekat sama ada kelompok ekonomi, politik atau sosial. Contohnya, negara-negara Eropah berusaha menggabungkan diri mereka dalam kumpulan ekonomi yang kuat seperti (EEC). Negara China yang semakin terbuka dalam semua aspek juga turut terkenal dengan konsep China Belt dari China ke Asia, China ke Arab, China ke Eropah dan China ke Russia. Walaupun kos keretapi laju merentas sempadan ini sangat tinggi, namun China bersungguh-sungguh melakukannya untuk menunjukkan ketamadunan mereka yang tinggi dalam semua aspek. Maka berlakulah pertembungan yang dikenali hari ini sebagai trade war.

Di Malaysia, konflik antara kaum adalah kes terpencil kerana kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai program untuk menyatukan mereka. Namun ianya bukanlah jaminan kekal dan mutlak, kerana anasir-anasir subversif sentiasa mencari ruang dalam masyarakat untuk melakukan jenayah, keganasan dan sebagainya. Risiko dalam kalangan multi racial peoples ialah konflik yang lebih besar kerana persaingan dalam politik dan ekonomi. Kita tidak boleh mengambil sikap tunggu dan lihat, kerana masa tidak pernah menunggu hal-hal seperti itu berlaku. Dalam usaha menjayakan keselamatan negara yang lebih mapan, rakyat perlu bergerak ke hadapan, menjadikan yang telah berlalu sebagai panduan untuk keselamatan negara yang lebih terjamin di masa hadapan.

Penutup: Kesatuan Wilayah
Kesatuan wilayah sangat penting dalam survival negara bangsa Malaysia. Jika sistem federal Malaysia yang telah dibentuk sejak 16 September 1963 menjadi semakin longgar, negara akan berhadapan isu keselamatan. Sedarlah bahawa kesatuan rakyat Malaysia akan membawa kekuatan, kebersamaan membawa kekuatan sebaliknya keterpisahan akan membawa kelemahan. Jika kesatuan negara lemah, maka dunia mudah memanupulasi negara kita yang akhirnya akan memberi implikasi yang buruk dalam politik, sosial dan ekonomi. 

No comments:

Powered by Blogger.